Segala puji dan syukur kepada Tuhan yang maha pengasih atas rahmat serta hidayahnya hingga blog ini dapat diselesaikan dan sampai ke tangan para pembaca.
Tanpa sedar, kita sudah masuk dan hidup dalam zaman yang penuh dengan pancaroba. tingkah laku manusia yang semakin tidak keruan amat membimbangkan. Cara manusia memandang dirinya semakin pudar. Sudah sering berlaku di mana seseorang manusia itu terlalu mudah menganggap dirinya tidah berguna, seseorang yang gagal malah muncul perasaan mahu mengakhiri hidup kerana ada waktu-waktunya berasa hidup ini sudah tidak bermakna.
Ramai juga manusia yang cenderung bersahabat dengan musuh yang ada di dalam dirinya sendiri hingga walau ke mana dia melangkah, musuh itu sentiasa ada di sampingnya. Sewaktu muncul perasaan dan dorongan berbuat baik dalam hati, ada pula rintangan yang dihadapinya. Itulah musuh manusia yang datang dari dalam dirinya. Bagi menyingkap perkara ini, kadang-kadang manusia perlu tegas ke atas dirinya. Dia perlu dapat menawan kemahuan dirinya.
Hidup ini suatu perjuangan. Tidak ada kejayaan yang dapat diraih tanpa perjuangan, tiada hasil dalam hidup tanpa keringat dan air mata. Semakin kita berjuang untuk hidup, semakin hampir kita menemukan erti kehidupan yang sebenarnya. Manusia yang mempunyai cara pandang yang optimis dan meletakkan perjuangan hidup sebagai sebahagian daripada dinamik hidup yang berputar, melihat setiap hari hidup kian berisi dan bererti serta membuahkan kebaikan kepada orang di sekelilinginya. Demikianlah halnya dengan hidup ini, kadang-kadang merasai kepayahan dan pahit getir kehidupan sebelum memahami erti kehidupan yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment